Ahad, 6 September 2009

Pemberian dan Pintaan

Kehidupan ini penuh dengan pemberian dan pintaan. Tanpa pemberian tiada pintaan, tanpa pintaan tiada pemberian. Pemberian dan pintaan silih berganti, saling dahulu mendahului. Nilai pemberian terletak pada pemberinya, nilai pintaan terletak pada pemintanya...

Kita sering membandingkan antara pemberian dan pintaan, mencari-cari yang mana satu lebih banyak. Kita menganggap setiap pemberian adalah kerana pintaan, dan setiap pintaan adalah untuk pemberian...

Bila kita meminta dan lalu diberi kita pasti gembira, dan bila kita dipinta dan lalu memberi kita pasti sengsara. Kerna pintaan itu dianggap penambah kebahagiaan, dan kerna pemberian itu dianggap penambah kesengsaraan...

Kita sering merasakan segala yang kita pinta adalah yang terbaik untuk kita. Tetapi setelah kita diberi kita mungkin merasakan apa yang terbaik adalah dengan tidak memintanya. Kita terlalu mengukir keindahan di khayalan pintaan kita tanpa melihat hakikat di pemberian nanti. Kerna kita terlalu meletakkan harapan agar semua pintaan kita akan diakhiri dengan pemberian...

Jika benar kita layak diberi, kita tidak memerlukan pintaan untuk mendapatkannya. Tetapi, kita masih meneruskan pintaan hanya kerana jahil masa dan suasana yang mengharuskan berlakunya pemberian ini. Kita tidak boleh memadamkan pemberian setelah pintaan, tapi masih boleh memadamkan pintaan sebelum pemberian...

Erti pemberian ialah kasih dan cinta... Erti pintaan ialah harap dan taat.. Antara hamba dan Pencipta...

1 ulasan:

  1. kita sering meminta..
    malah kita dipinta agar meminta..
    "Pintalah daripada-Ku.."
    kerana itu fitrahnya manusia..
    untuk meminta dan terus meminta..
    permintaan seorang hamba kepada Pencipta yang Maha Kuasa..
    sememangnya manusia tidak tahu apakah mendapat apa yang dipinta itu baik untuknya atau sebaliknya..
    kerana itu tanda jahilnya kita..
    seorang hamba yang lemah tanpa kuasa..
    maka apa pendapat ustaz andai ditambah di dalam doa' perkataan "andai"..
    "ya andai ia baik untukku jadikan permintaanku ini pemberian-Mu padaku..
    namun andai ia buruk untukku maka jauhkan permintaan ini daripadaku"..
    agar perbuatan meminta ini sentiasa menjadi ibadah seorang hamba kepada Penciptanya..

    BalasPadam